Cara-cara penyesuaian kendiri semasa penularan wabak Covid-19

          Pandemik Covid-19 yang sedang menular di Malaysia dan dunia menjadi mimpi ngeri kepada semua. Di Malaysia wabak Covid-19 telah memberikan dampak yang sangat besar kepada sistem politik, ekonomi, sosial, kesihatan, dan pendidikan negara. Malah, telah mengubah cara dan gaya hidup manusia termasuklah cara kebanyakan individu bekerja, bersosial, belajar, keluar membeli belah dan melakukan aktiviti kehidupan yang lain.

Ekoran daripada wabak yang berlaku ini, kerajaan Malaysia telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 bertujuan untuk memutuskan rantaian wabak dengan mengawal penularan virus. Ironinya, kewujudan norma baharu ini memberikan kesan yang buruk terhadap aspek psikologi sekiranya individu gagal membuat penyesuaian kendiri terhadap perubahan drastik tersebut. Justeru, apakah penyesuaian kendiri yang perlu dilakukan dalam kemelut yang sedang melanda kini?

Secara umumnya, setiap benda hidup di muka bumi ini melalui proses penyesuaian dan adaptasi untuk memenuhi keperluan diri. Penyesuaian juga membantu makhluk untuk mencapai keperluan diri dan persekitaran untuk kelangsungan hidup. Setiap individu melalui penyesuaian kendiri dalam dua fasa. Pertama ialah penyesuaian kendiri dalaman iaitu individu membuat penyesuaian pada dirinya untuk memenuhi kehendak dan perubahan luaran  bagi mencapai kesejahteraan diri. Kita perlu memiliki pemikiran yang baik dan positif terhadap setiap dasar, perintah dan polisi yang ditetapkan oleh pihak kerajaan berhubung wabak Covid-19. Misalnya dengan memahami konsep perubahan itu ialah lumrah kehidupan atau istilah ‘change is constant’ menjadikan individu menerima perubahan dengan berlapang dada.

Selain itu, penyesuaian melalui kawalan terhadap tingkah laku diri dan emosi memainkan peranan penting dalam kehidupan harian. Misalnya, apabila penjarakan fizikal dilaksanakan, individu masih boleh berinteraksi melalui media sosial dan talian, cara bersalaman pula diganti dengan ucapan lisan, memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam. Setiap individu harus menjadikan perbuatan  mencuci tangan sebagai amalan harian . Individu juga harus memastikan maklumat yang diperoleh adalah daripada sumber sahih dan diperakui oleh pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara. Ini bagi mengelakkan maklumat palsu yang berlegar di media sosial menimbulkan kebimbangan sekiranya individu gagal menyaring informasi yang tepat. Kawalan emosi yang baik dapat mencipta emosi positif seperti gembira, ceria, tenang dan seronok.

Penyesuaian kendiri luaran pula berhubung kait dengan faktor persekitaran yang berubah. Misalnya dalam sektor pekerjaan, pendidikan dan juga aktiviti luar yang terhad memerlukan proses penyesuaian persekitaran menerusi kaedah pembelian barang, pembelajaran dan khidmat secara atas talian. Oleh itu, rumah bukan lagi menjadi tempat untuk kita beristirahat apabila pulang bekerja, tetapi segala kegiatan dilakukan di rumah. Penyesuaian dengan persekitaran rumah sebagai ruang bekerja, belajar, aktiviti riadah keluarga dan beristirahat hendaklah dilakukan mengikut peranan dan fungsinya dalam mencapai keperluan individu atau bersama. Malah, proses ini boleh menjadi sesuatu yang menggembirakan sekiranya individu menetapkan matlamat diri dan ahli keluarga, seterusnya berusaha untuk mencapai matlamat tersebut. Misalnya membuat jadual harian di rumah, menggariskan fungsi kerja setiap isi rumah untuk menjamin kebersihan rumah.

Kesimpulannya, norma baharu ini dapat dijalani dengan tenang dan memberikan impak positif kepada setiap individu sekiranya penyesuaian kendiri dilakukan serta diurus dengan baik. Hal ini seterusnya menjamin fasa PKP berjalan lancar. Sememangnya, sesuatu yang tampak buruk namun memberikan hikmah tersembunyi disebaliknya.

没有评论:

发表评论

featured ❤❤❤

活着,是为了爱与被爱

人活一世,草木一秋。我们这一辈子,最长也就一百年,而这一百年对于浩瀚的宇宙而言,无异于一瞬间。时间若白驹过隙,忽然而矣!此生究竟过得如何,全由自我掌控。一生中,有的人活得很精彩,也有的人只是生存着;有的人到达成功的彼岸,也有的人最终沦为败者;有的人为世界造就幸福,也有的人给世界带...

most read ❤