Aktiviti bermain merupakan suatu aktiviti yang amat diperlukan oleh kanak-kanak. Dalam proses pembesaran, aktiviti ini amat penting dalam merangsang minda dan fizikal mereka. Pada zaman moden ini, pelbagai permainan moden muncul cendawan tumbuh selepas hujan sehingga menenggelamkan populariti permainan tradisional. Namun, tanpa kita sedari, permainan tradisional sebenarnya banyak mendatangkan kebaikan berbanding permainan-permainan moden yang berlambak di pasaran.
Permainan tradisional seperti gasing, galah panjang, congkak, wau dan sebagainya merupakan aktiviti yang bermanfaat bagi memenuhi masa lapang kanak-kanak mahupun remaja. Permainan ini tidak memerlukan perbelanjaan yang besar sehingga membebankan para ibu bapa. Misalnya, permainan atau layang-layang, dengan kos lebih kurang RM2.00, kanak-kanak sudah dapat memperoleh sebuah wau. Jika ingin lebih jimat lagi, seseorang boleh membuat wau tersebut secara sendiri seperti kata pepatah “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”.
Selain itu, permainan tradisional lebih merangsang otak berbanding permainan moden. Contohnya permainan congkak dan dam memerlukan seseorang yang panjang akal bagi mengatur strategi untuk mengalahkan pihak lawan. Permainan congkak menjadi suatu latihan untuk mengira terutama sekali ketika ingin menggerakkan buah congkak. Oleh itu, permainan ini mempunyai kebaikan serampang dua mata, iaitu selain menjadi suatu aktiviti untuk mengisi masa lapang, permainan ini juga dapat mengasah minda.
Percaya atau tidak bahawa permainan tradisional dapat menyihatkan badan? Hal ini demikian kerana terdapat sesetengah permainan tradisional yang dapat mengeluarkan peluh dan seterusnya menjadikan pemainnya sihat. Hal ini jelas dilihat dalam permainan galah panjang. Dalam permainan ini, para pemainnya perlu berlari dan ini akan menggerakkan seluruh anggota badan dan seterusnya mengeluarkan peluh, dengan sedemikian, otak seseorang akan menjadi lebih cerdas, bak kata pepetah “badan cergas, otak cerdas”. Hal ini berbeza dengan permainan moden yang kebanyakannya tidak mengeluarkan peluh kerana hanya anggota tangan yang bergerak.
Jelaslah di sini bahawa permainan tradisional banyak mendatangkan manfaat kepada kita. Permainan ini perlu dipertahankan agar tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas dan dapat diwarisi turun-temurun. Alangkah ruginya sekiranya generasi muda pada hari ini terus mengabaikan permainan tradisional ini kerana permainan ini dapat menggambarkan jati diri sebagai sesuatu bangsa dan negara. Kita tentu berasa bangga sekiranya terdapat pelancong yang mengaitkan sesuatu permainan itu dengan negara kita seperti permainan wau dan sepak raga yang sangat terkenal di Malaysia.
没有评论:
发表评论