Cara-cara untuk menghidupkan semula permainan tradisional di negara kita

                                    Ombak memukul pantai Bidara,

Nelayan tua menjala ikan,

Salam manis salam sejahtera,

Kepada hadirin saya muliakan.

Selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Encik Tey, Pengetua Sekolah Menengah Chung Hua, penolong-penolong kanan, guru-guru dan murid sekalian. Terlebih dahulu ingin saya ucapkan ribuan terima kasih kerana kesudian pihak sekolah mengundang saya untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Cara-cara untuk menghidupkan semula permainan tradisional di negara kita” sempena Minggu Bahasa Malaysia Sekolah Menengah Chung Hua. Saya berasa bangga atas undangan ini.

Para hadirin yang saya hormati,

          Dalam menempuh arus modenisasi yang menerjah watan tanpa diundang, acap kali meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap pelosok negara tentang isu kelunturan permainan tradisional di negara kita. Pada zaman moden ini, pelbagai permainan moden muncul secara drastik bagai cendawan tumbuh selepas hujan sehingga menenggelamkan populariti permainan tradisional. Kemelut ini bukan sahaja menjadi buah mulut masyarakat, malahan menjadi mauduk utama akhbar harian di negara kita. Sebelum nasi menjadi bubur, marilah kita mengenal pasti cara-cara untuk menghidupkan semula permainan tradisional. Persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita, bagaimanakah cara untuk menghidupkan semula permainan tradisional di negara kita?

Hadirin yang dikasihi,

          Pada hemat saya, ibu bapa mendukung obligasi yang optimum untuk menghidupkan semula permainan tradisional yang semakin dilupakan oleh masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa dipandang sebagai guru pertama kepada anak-anak sepanjang hayat mereka, jadinya ibu bapa memainkan peranan yang sungguh signifikan untuk memupuk minat bermain permainan tradisional terhadap anak-anak mereka. Sebagai ibu bapa, mereka perlu memberikan galakan serta dorongan kepada anak-anak supaya mereka berminat terhadap permainan ini. Contohnya, ibu bapa boleh membelikan anak-anak alat-alat permainan tradisional seperti wau, gasing dan lain-lain agar dapat membolehkan mereka dapat berjinak-jinak dengan permainan tradisional. Selanjutnya, ibu bapa juga mesti meluangkan masa bersama dengan mereka untuk bermain permainan tradisional ini. Langkah ini bukan sahaja dapat menyemai minat bermain permainan tradisional  dalam jiwa anak-anak, bahkan juga mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli keluarga. Sesungguhnya, sambil menyelam minum air. Tegasnya, ibu bapa merupakan pihak yang amat penting dalam isu tersebut.

          Dari aspek yang lain pula, seperti mana yang kita sedia maklum, pihak sekolah juga memikul tanggungjawab untuk memupuk minat pelajar. Hal ini berpunca daripada sekolah senantiasa digambarkan sebagai rumah kedua kepada pelajar-pelajar yang dapat menyumbang kepada perkembangan fizikal dan mental mereka. Lantaran itu, sebagai sesuatu tempat yang mulia lagi suci, selain menyebarkan ilmu pengetahuan, pihak sekolah juga bertanggungjawab untuk mempopularkan permainan tradisional. Tamsilnya, pihak sekolah boleh mewujudkan kelab permainan tradisional dalam aktiviti kokurikulum dan perlu memastikan kelab ini bergerak secara aktif bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Dengan itu, pelajar-pelajar memperoleh kesempatan untuk mengenali dan memahami cara-cara untuk bermain permainan tersebut dengan berkesan. Selain itu, guru-guru harus membantu menambahkan ilmu pengetahuan tentang permainan tradisional secara menarik. Jelaslah kepada kita bahawa kebangkitan kembali permainan tradisional memerlukan sinergi daripada pihak sekolah melalui penganjuran kelab dan proses pengajaran.

          Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka cara yang konkrit serta pragmatik ialah media massa harus melaporkan pelbagai projek mempromosikan permainan tradisional. Pada era globalisasi ini, media cetak dan media elektronik merupakan medium penyampai yang utama kepada masyarakat. Oleh itu, inisiatif yang boleh digarap adalah mempromosikan permainan tradisional dalam media elektronik seperti televisyen ataupun menyiarkan iklan-iklan tentang permainan tradisional serta cara-cara untuk bermainnya. Tambahan pula, produk animasi tempatan yang semakin mendapat perhatian masyarakat pada hari ini boleh menggunakan elemen permainan tradisional dalam jalan cerita mereka. Orang tua-tua pernah berkata bahawa “tak kenal maka tak cinta,” kita haruslah memberikan kesempatan kepada orang ramai untuk mengenali permainan tradisional supaya minat bermain permainan tradisional tersemai dalam sanubari mereka. Sudah terang lagi bersuluh bahawa media massa berperanan sebagai pemangkin penting untuk menghidupkan semula permainan tradisional di negara kita.

          Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi, saya berpendapatan bahawa pihak kerajaan merupakan pendukung utama untuk membangkitkan kembali permainan tradisional yang semakin dipinggirkan oleh generasi muda. Tidak dapat dinafikan bahawa di dalam sesebuah negara, kerajaan mempunyai modal yang mencukupi, strategi yang menyeluruh dan hak yang terbesar untuk menangani masalah. Justeru, kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui Pilihan Raya harus memainkan peranannya untuk melaksanakan harapan rakyat dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Dalam konteks ini, kempen kesedaran tentang kepentingan permainan tradisional boleh dilancarkan secara berkala dan berterusan. Di samping itu, pihak kerajaan berusaha untuk menganjurkan pertandingan permainan tradisional di peringkat negeri mahupun di peringkat kebangsaan. Lagipun, pihak kerajaan juga memperkenalkan permainan tradisional di peringkat dunia, malahan menjadikan permainan ini sebagai salah satu acara dalam pertandingan antarabangsa. Deduksinya, kerajaan hendak mengambil inisiatif untuk mengatasi isu tersebut sebelum masalah mendatangkan variasi kemudaratan kepada negara kita.

Hadirin yang saya muliakan,

Sebagai penghias bicara akhir, tanpa kita sedari, permainan tradisional sebenarnya banyak mendatangkan kemaslahatan berbanding dengan permainan moden yang kini berlambak di pasaran. Permainan ini perlu dipertahankan agar tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas dan dapat diwarisi turun-temurun. Alangkah ruginya sekiranya generasi muda pada hari ini terus mengabaikan permainan tradisional kerana permainan ini dapat menggambarkan jati diri sebagai sesuatu bangsa dan negara. Pada pandangan saya, oleh hal yang demikian, semua pihak mestilah menggembleng tenaga bagai aur dengan tebing bak kata orang cerdik pandai “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” dalam mengetengahkan permainan tradisional agar permainan ini akan terus berdiri dengan utuh dalam arus perdana. Ingatlah peribahasa Melayu yang berbunyi, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.”

Setakat sinilah ceramah saya pada hari ini, seandainya terdapat kesilapan dan kesalahan semasa ceramah saya tadi, saya menyusun sepuluh jari meminta keampunan dan kemaafan. Sebelum mengundur diri, saya ingin mengongsikan serangkap pantun:

Kalau ada jarum yang patah,

Jangan simpan di dalam peti,

Kalau ada silap dan salah,

Jangan simpan dalam hati.

Sekian, terima kasih.

没有评论:

发表评论

featured ❤❤❤

活着,是为了爱与被爱

人活一世,草木一秋。我们这一辈子,最长也就一百年,而这一百年对于浩瀚的宇宙而言,无异于一瞬间。时间若白驹过隙,忽然而矣!此生究竟过得如何,全由自我掌控。一生中,有的人活得很精彩,也有的人只是生存着;有的人到达成功的彼岸,也有的人最终沦为败者;有的人为世界造就幸福,也有的人给世界带...

most read ❤