Padahal,
anak-anak merupakan anugerah Tuhan kepada setiap pasangan suami isteri di
seantero dunia. Cahaya matalah penyeri kehidupan keluarga yang dapat
mendatangkan kebahagiaan sejak kelahiran mereka. Sejak anak-anak masih kecil
lagi, ibu bapa mereka telah menjaga dan mendidik mereka dengan baik bagai
menatang minyak yang penuh, jadinya, masa depan anak-anak sebenarnya dicorakkan
oleh ibu bapa. Oleh sebab itu, kita haruslah kerap membalas jasa dan
mengucapkan terima kasih atas sumbangan ibu bapa dengan meringankan beban
ataupun tidak membimbangkan mereka sahaja tetapi janganlah kita bersikap kacang
lupakan kulit. Semenjak negara kita menikmati arus kemodenan, seiring dengan
perkembangan teknologi maklumat, tekanan yang ditempuh oleh pemuda semakin
berat ,oleh hal yang demikian, anak-anak pada hari ini telah tidak sering
membalas jasa ibu bapa berbanding dengan masa lalu. Sebelum nasi menjadi bubur,
marilah kita mengenal pasti tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan oleh anak-anak
terhadap ibu bapanya.
Pada
pandangan saya, sebagai seorang anak lagi pelajar, kita wajarlah belajar
bersungguh-sungguh sehingga memperoleh kejayaan. Hal ini dikatakan demikian
kerana kejayaan anak-anak akan menggembirakan hati ibu bapa kerana itulah
kebanggaan mereka. Contohnya, pelajar-pelajar mesti senantiasa berdedikasi
dalam pembelajaran dan penuntutan ilmu pengetahuan sebagai kewajipan yang perlu
ditunaikan. Bukan itu sahaja, kita juga wajib memberikan sepenuh tumpuan dalam
bidang akademik dan kokurikulum supaya masa yang berharga tidak disia-siakan
sahaja. Bak kata peribahasa "berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke
tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian," kita tidak
harus membazirkan masa tanpa niat baik dalam tempoh masa yang terlalu
memerlukan ketabahan dan ketegasan. Jelaslah kepada kita bahawa anak-anak harus
berhempas-pulas mencungkil ilmu pengetahuan untuk mendapat keputusan
peperiksaan yang cemerlang agar dapat menggembirakan hati ibu bapa.
Di
samping itu, anak-anak memikul tanggungjawab terhadap ibu bapa untuk
mengamalkan tingkah laku dan disiplin yang terpuji. Hal ini berpunca daripada
akhlak seseorang akan menunjukkan didikan daripada ibu bapa kepadanya dan
perkara tersebut berkaitan rapat dengan nama keluarga. Tamsilnya, seseorang
yang berbudi pekerti tidak mudah terjebak dalam gejala sosial yang senantiasa
menimbulkan kekhuatiran masyarakat seperti gengsterisme, vandalisme dan
lain-lain. Seandainya anak-anak mempunyai budi bahasa yang terpuji, nama baik
diri dan keluarga dapat dijaga dengan sempurna. Dengan itu, dia akan
menghormati ibu bapa dan orang yang lebih tua serta disukai orang lain. Bak
kata mutiara "elok basa akan kekal hidup, elok budi bekal mati," budi
bahasa merupakan amalan baik yang perlu ada pada setiap orang agar segala
tindakan mereka terpimpin dan tidak menyeleweng daripada norma-norma
masyarakat. Secara ringkasnya, kita hendak menyemai amalan berbudi bahasa dan
berdisiplin di mana-mana tempat dan pada bila-bila masa.
Selaras
dengan itu, salah satu tanggungjawab yang diperlukan oleh anak-anak adalah
membantu ibu bapa apabila mempunyai masa lapang di rumahnya. Tidak dapat
dinafikan bahawa ibu bapa mungkin berasa sangat letih selepas memerah keringat
sepanjang hari. Sehubungan dengan itu, sebagai seorang anak yang bertimbang rasa,
kita harus meluangkan masa yang mencukupi untuk menghulurkan bantuan kepada
mereka. Contohnya, kita boleh membersihkan halaman rumah dan kawasan luar rumah
pada hujung minggu. Selanjutnya, kita membantu meringankan tugas rutin harian
ibu bapa jika ada masa. Kerja rumah yang boleh kita lakukan tersebut
termasuklah menyapu lantai, mencuci pinggan, mengemas rumah dan sebagainya.
Sementara itu, aspek keselamatan anggota keluarga juga mesti dititikberatkan.
Orang tua-tua pernah berkata bahawa "berat mata memandang, berat lagi bahu
memikul," beban yang ditanggung oleh ibu bapa adalah lebih berat daripada
anak-anak yang melihatnya, lantaran itu, penghuluran bantuan kepada ibu bapa
merupakan kewajipan anak-anak. Tegasnya, anak-anak harus membantu ibu bapa di rumahnya
jika mempunyai masa lapang yang mencukupi.
Lanjutan
daripada itu, antara tanggungjawab anak-anak adalah menjaga ibu bapa sewaktu
mereka sakit. Hakikatnya, selama ini, ibu bapa telah menghantar kita ke klinik
untuk mendapatkan rawatan berpuluh-puluh kali ketika kita dijangkiti penyakit.
Keadaan begini telah menunjukkan kasih sayang dan kepekaan ibu bapa yang
sepenuhnya terhadap cahaya mata mereka. Dalam hal itu, anak-anak juga harus
memberikan ibu bapa rawatan yang terbaik dan memantau kesihatan ibu bapa
apabila mereka berkemampuan mencari rezeki dengan keringat diri sendiri pada
masa hadapan yang akan datang. Pada masa hadapan itu, kita hendak menghantar
mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan seperti ibu bapa pernah menjaga
kita pada tahun sebelumnya. Sejajar dengan itu, bak kata cendekiawan
"mencegah lebih baik daripada mengubati," kita juga harus menghantar
ibu bapa yang semakin berumur ke hospital bagi pemeriksaan kesehatan badan
secara berterusan dan berkala. Pendek kata, semasa ibu bapa berasa sakit,
anak-anak mesti menjaga mereka dengan penuh perhatian.
Dalam
pada itu, anak-anak wajib menunaikan tanggungjawab kepada ibu bapa melalui
sentiasa bertanya khabar dan menziarahi ibu bapa. Hal ini dikatakan begitu
kerana penemanan antara manusia sebenarnya adalah paling bermakna lagi bernilai
di seluruh dunia ini sepanjang hayat. Sebagai contohnya, anak-anak boleh
menghubungi ibu bapa mereka dengan menelefon ataupun menggunakan aplikasi
komunikasi seperti "whatsapp" dan "wechat" sekali-sekala.
Sebagai anak yang bertanggungjawab, kita juga selalu pulang ke rumah ibu bapa
untuk bertanya khabar serta membawa ibu bapa tinggal bersama jika perlu.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, lawatan ke mana-mana tempat yang indahnya
pemandangan bersama dengan ibu bapa juga dianggap sebagai salah satu langkah
terbaik untuk menemani mereka. Peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa
"mata itu emas," masa ibu bapa berada di dunia kian hari kian kurang,
oleh itu, kita mesti menghargai masa mendampingi mereka. Sudah terang lagi
bersuluh bahawa anak-anak patut senantiasa menemani dan mendampingi ibu bapa.
Sebagai
penghias bicara akhir, terdapat banyak tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh
anak-anak kepada ibu bapa mereka. Namun begitu, baru-baru ini, generasi muda
telah kehilangan amalan membalas jasa dan berterima kasih kepada ibu bapa
mungkin kerana tekanan daripada kehidupan harian semakin berat. Pada hemat
saya, orang yang bersyukur ialah manusia yang bahagia kerana dapat menikmati
segala kurniaan-Nya. Orang tua-tua mengatakan bahawa "hutang emas boleh
dibayar, hutang budi dibawa mati," dalam konteks itu, kita mesti menjadi
seseorang yang tahu bersyukur, membalas jasa dan bertanggungjawab supaya negara
kita akan menjadi lebih aman dan harmoni. Untuk memajukan isu tersebut, semua
pihak mesti bekerjasama bagai aur dengan tebing bak orang cerdik pandai
"bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat."
Sesungguhnya, tiada gunung yang tidak dapat didaki, tiada lurah yang tidak
dapat diturun.
没有评论:
发表评论